Assalammualaikum....
Bagi anda yang bercita-cita untuk membina rumahtangga bahagia dan mendapat
keberkatan dan keredhaan daripada Allah s.w.t renungkanlah tips berikut : -
1) Anda perlu meletakkan tujuan perkahwinan untuk mencari keredhaan Allah.
Naluri untuk berteman dan keinginan kepada anak-anak adalah kehendak
semulajadi yang telah diletakkan oleh Allah dalam diri setiap manusia yang
normal.
Surah Al-Furqan ayat 74 :-
"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan
kami sebagai penyenang hati kami, dan jadikan kami imam bagi orang yang
bertaqwa."
2) Anda perlu menyedari bahawa perkahwinan anda dengan orang yang dikasihi
itu adalah suatu ketetapan dari Allah. Tanpa restu dan izin yang Maha
Berkuasa perkahwinan anda tidak mungkin akan terjadi walau bagaimana besar
usaha dan penat lelah yang telah anda lakukan kearahnya. Anda juga perlu
menerima hakikat bahawa usia perkahwinan anda terletak di tanganNya, dan
Allah berhak mengambilnya pada bila-bila masa yang dikehendakiNya. Sebagai
seorang yang beriman dengan qoda' dan qadar Allah anda hendaklah sentiasa
berdoa agar jodoh anda dengan pasangan berpanjangan sehingga ke akhir hayat.
Allah berfirman dalam surah Al-An'am ayat 17 :-
"Jika Allah menimpakan satu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang
menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan
kepadamu, maka dia maha kuasa atas tiap-tiap sesuatu."
3) Perkahwinan membuahkan hak-hak dan tanggungjawab tertentu yang perlu
ditunaikan baik oleh suami atau pun isteri. Diantara tanggungjawab suami
ialah melunaskan mas kahwin, memberi nafkah zahir dan bathin, mendidik
isteri dan anak- anak serta berlaku baik terhadap mereka. Manakala
tanggungjawab isteri pula ialah mentaati suami dalam perkara yang tidak
berlawanan dengan syara', memelihara diri dari perkara yang mungkar,
menjaga harta suami dan menguruskan rumahtangga.
Segala hak dan tanggungjawab ini telah termaktub didalam Al-Qur'an dan
sangat bersesuaian dengan tabiat dan fitrah semulajadi manusia. Anda
seharusnya melaksanakan segala tanggungjawab ini bukan sekadar untuk
menyukakan hati pasangan anda sahaja, sebaliknya kerana mencari keredhaan
Allah s.w.t.
4) Sebagai seorang mukmin , sama ada lelaki dan perempuan mestilah
meletakkan Allah dan Rasul lebih tinggi daripada segalanya. Firman Allah
yang bermaksud :-
"Katakanlah, jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara,isteri-isteri, kaum
keluarga kamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu
khuatiri kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah
lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan dari berjihad di
jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya. Dan Allah
tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik." [Surah At Taubah, 24]
Oleh itu anda mestilah memahami kedudukan anda di sisi pasangan. Anda
bukanlah pihak yang pertama di hatinya. Bagi suami, selepas ketaatan kepada
Allah dan RasulNya, ibubapa jatuh tempat kedua kemudian barulah isteri dan
keluarga. Sementara bagi isteri, suami adalah tempat kedua selepas Allah
dan RasulNya. Kemudian itu barulah ibubapa. Setelah memahami kedudukan yang
ditetapkan oleh Allah, anda seharusnya tolong menolong di antara suami
isteri dalam meletakkan hak dan kedudukan ini supaya kena pada tempatnya.
5) Anda haruslah ingat bahawa pasangan anda adalah manusia biasa yang tidak
terkecuali daripada kelemahan dan kesilapan. Anda juga demikian. Oleh itu
sekiranya pasangan anda melakukan kesilapan, janganlah terlalu
diperhitungkan. Sentiasalah mengamalkan sikap bertolak ansur dan saling
maaf memaafi antara suami dan isteri.
6) Dalam surah Al-Baqarah ayat 187, Allah menggambarkan hubungan suami
isteri sebagai pakaian bagi satu sama lain. Bayangkan bagaimana pentingnya
pakaian bagi manusia untuk menghindarkan diri daripada hujan dan
panas,begitulah pentingnya anda kepada pasangan anda. Sebagai pakaian anda
diperlukan setiap masa oleh pasangan anda untuk menutupi keaibannya dan
melindunginya daripada perkara-perkara yang tidak menyenangkan. Oleh itu
anda perlulah menjadikan diri anda sebagai pakaian yang terbaik untuknya
dan menjauhkan diri daripada menjadi pakaian yang buruk, lusuh dan tidak
berguna.
7) Sebagai seorang Islam, telah wujud ikatan persaudaraan Islamiah antara
anda dan pasangan sebelum perkahwinan. Ijabkabul bukan sahaja menjadikan
anda suami atau isteri malah mengerat dan mengemaskan lagi ikatan
persaudaraan ini. Oleh itu kasih sayang tidak hanya berfungsi untuk
mengikat suami dan isteri tetapi juga sebagai saudara seiman dan seagama.
8) Anda perlulah beradab dipertemuan pertama dengan pasangan anda. Suami
hendaklah memberi salam kepada isteri apabila memasuki bilik pengantin dan
meletakkan tangannya di atas ubun-ubun isteri sambil berdoa dengan maksud:-
"Wahai Tuhanku aku memohon kepadaMu kebaikannya dan kebaikan apa yang
Engkau fitrahkan dia atasnya. Dan aku berlindung dengan Mu dari
kejahatannya dan kejahatan apa yang Engkau fitrahkan dia atasnya."
Selepas itu pasangan hendaklah bersembahyang sunat dan berdoa kepada Allah
agar diberiNya kebaikan dan dijauhiNya kejahatan. Dan jika hendak bersama
dengan pasangan bacalah doa dengan maksud:-
"Wahai Tuhanku, jauhkan kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan
daripada anak-anak yang engkau anugerahkan kepada kami."
Pertelingkahan antara suami isteri adalah sesuatu yang biasa terjadi
sebagaimana lazim disebutkan 'sedangkan lidah lagi tergigit'. Maka apabila
berlaku pergeseran janganlah diperbesarkan. Kalau suami marah seeloknya
isteri diam dan kalau isteri marah, giliran suami pula diam. Adalah tidak
perlu pasangan yang dimarahi cuba membela diri kerana lazimnya ia tidak
membuahkan hasil yang baik. Walau bagaimanapun sesiapa yang marah ini
perlulah ingat dan bertanya kenapa aku marah. Adakah pasangan aku telah
melakukan mungkar yang bertentangan dengan syariat Allah. Jika tidak,
nasihat yang baik adalah lebih berkesan. Hidup saling memaafkan dan saling
mengerti antara satu sama lain akan menambahserikan rumah tangga.
Janganlah takut menghadapi dugaan dan ujian kerana rumahtangga yang diuji
akan membuatkannya lebih kukuh dan matang jika pasangan bijak
mengendalikannya. Sentiasalah berdoa kepada Allah agar mempermudahkan usaha
kita dalam melayari kehidupan berumahtangga.
[Ummu Ikram]
0 comments:
Post a Comment