Aku dan Purdah ?

Salam buat pengunjung blog akak, baru-baru ini akak dapat panggilan dari sahabat karib akak.Bersembang la kami berdua , rindu sungguh sebab dah lama tidak bertemu.Posting kali ini bukan la untuk cerita mengenai akrabnya persahabatn akak, cuma pertanyaan sahabat akak nie menyebabkan akak teringin berkongsi dengan pengunjung..Akak nak kongsi ilmiah yang akak dapat dari blog Dari Anjung Al Atrak .. Soklan nie la " Enti pi Jordan nanti , naka berPURDAH dak?
yang menyebabkan akak nak kongsi di sini..


Niqab ialah sesuatu yang digunakan oleh wanita bagi menutup bahagian wajah mereka.Cuma yang dipamerkan hanya bahagian mata sahaja.Terdapat lagi istilah-istilah yang ada kaitan dengan niqab.Antaranya ialah khimar, burqa’ , hijab, dan litham. Saya akan terangkan secara ringkas satu persatu kaitan antara istilah-istilah tersebut dengan niqab.

1. الخمار : ini ialah nama bagi kain yang digunakan untuk menutup bahagian kepala bagi wanita.Ini berdasarkan firman Allah taala di dalam al-Quran surah al-Nur ayat 31:


وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

Maksudnya: dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.
Kaitan di antara niqab dan khimar ialah niqab digunakan untuk menutup wajah,manakala khimar digunakan untuk menutup kepala.Kedua-duanya merupakan pakaian muslimah.

2. الحجاب: Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup keseluruhan wanita tersebut.

3. البُرقَع : Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup keseluruhan wajah wanita.Menurut Ibn Manzhur ,pengarang kitab Lisan al-Arab: Terdapat sedikit ruang untuk memperlihatkan mata bagi burqa’. Jika kita mengambil dengan takrif yang diberikan oleh Ibn Manzhur maka ianya sama maksud dengan niqab.

4. اللِثام : Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup bahagian mulut.Kaitan di antara niqab dan al-Litham ialah , niqab digunakan untuk menutup keseluruhan wajah kecuali kedua mata. Manakala al-Litham pula digunakan untuk menutup bahagian mulut dan ke bawah. Bilamana niqab digunakan untuk menutup bahagian wajah wanita maka ianya mempunyai kaitan rapat dengan aurat. Ini kerana, aurat adalah merupakan anggota yang wajib ditutup. Maka para ulama berbeza pendapat, adakah wajah termasuk di dalam aurat bagi wanita?

Jumhur para ulama iaitu Hanafiyah, Malikiyah, Syafieyah dan Hanabilah berpendapat mengatakan bahawa wajah wanita bukanlah aurat. Ini bermakna, diharuskan bagi wanita untuk menutup wajahnya dan dibenarkan juga baginya untuk membuka wajahnya.


Menurut para ulama bermazhab Hanafi: Wanita muda dilarang mempamerkan wajahnya di hadapan lelaki yang ajnabi . Larangan di sini bukanlah disebabkan wajah mereka aurat. Tetapi adalah untuk mengelakkan fitnah.Ini juga merupakan pendapat al-Imam Ibn Abidin rahimahullah, salah seorang ulama Hanafi.

Manakala para ulama bermazhab Maliki pula berpendapat: Makruh bagi wanita untuk memakai niqab( yang dimaksudkan dengan niqab oleh para ulama Maliki ialah yang menutup keseluruhan wajah termasuk mata)sama ada semasa solat atau selainnya.Ini kerana ianya terlalu berlebih-lebihan. Maka berdasarkan pendapat ini, golongan lelaki adalah lebih utama tidak memakai niqab, kecuali jika ianya menjadi adat bagi tempat tersebut.

Para ulama Maliki juga menyebutkan bahawa: Jika wanita tersebut muda dan cantik serta dibimbangi ianya akan menimbulkan fitnah, maka wajib baginya memakai niqab(purdah), serta menutup kedua tapak tangannya(dengan memakai sarung tangan).

Para ulama bermazhab Syafie pula berbeza pendapat didalam masalah niqab ini.Sebahagian ulama bermazhab Syafie berpendapat wajib bagi wanita memakai niqab,sebahagian lagi mengatakan ianya sunnah manakala sebahagian lagi mengatakan ianya merupakan Khilaf al-Aula.

Didalam hadis baginda sallallahu alaihi wasallam disebutkan:

عن سيدنا ابن عمر رضى الله عنهما أن النبي صلى الله عليه و سلم قال: لا تنتقب المرأة المحرمة و لا تلبس القفازين

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Saidina Abdullah bin Umar radhiyallahu anhuma, Sesungguhnya Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda: Janganlah seorang wanita tersebut memakai niqab dan memakai sarung tangan ketika dalam keadaan ihram.

Disebutkan oleh Ibn Taimiyah rahimahullah : Hadis ini menjadi dalil bahawa wanita pada zaman Baginda sallallahu alaihi wasallam memakai niqab dan sarung tangan. Oleh sebab itulah baginda sallallahu alaihi wasallam melarang pemakaian tersebut pada ketika waktu menunaikan ibadah haji.

KESIMPULAN

Jika kita menilai dengan baik pendapat para ulama tersebut, maka jelas menunjukkan bahawa niqab adalah sesuatu yang dituntut di dalam Islam. Cuma perlu difahami, bukanlah saya bertujuan untuk menyuruh semua wanita memakai niqab secara total. Amalkan berdasarkan kemampuan kita. Jika wanita tersebut merasakan bahawa jika dia tidak memakai niqab maka ianya akan menjadi lebih bahaya dan fitnah(manusia akan memandang kepadanya dengan syahwat),maka wajib baginya memakai niqab. Tetapi jika dia merasakan bahawa tiada masalah jika dia tidak memakai niqab, maka tidaklah menjadi dosa jika dia tidak memakai niqab sekalipun. Mereka boleh mengunakan sebahagian pendapat yang dipegang oleh ulama bermazhab Syafie yang mengatakan bahawa ianya merupakan Sunnah.

Wallahu a’lam

Rujukan:

Mausu’ah Kuwaitiyah jilid 41 mukasurat 134

Mausu’ah Yusufiyah oleh Syiekh Doktor Yussuf Khattar hafizahullah mukasurat 605-610


p/s : Akak pun sedang bina kekuatan dalaman untuk memulakan memakai purdah..Insyallah..Doakan...

Teroka Buku Bacaan Islamik : Pemilik Cintaku Setelah Allah & Rasul



Fatimah Syarha Mohd Noordin
RM12.00
Telaga Biru Sdn Bhd

Sinopsis

Novel ringkas ini mengisahkan perjalanan hidup seorang wanita yang sangat berhati-hati dalam menetapkan pasangan hidupnya. Keimanan yang tinggi dan kepercayaan yang menyeluruh terhadap Islam membuatkan beliau menggunakan segala pendekatan Rasulullah s.a.w. untuk hanya menerima pasangan hidup yang benar-benar dapat mendidik beliau dan keluarga ke jalan rahmat. Berkat kesabarannya itu, beliau akhirnya berjaya menemui pemilik cintanya, setelah Allah dan Rasul.

p/s : Alhamdulillah , buku ini memang betul menyentuh hati akak.Firts time , akak baca tajuknya ingat ka sesuai untuk yang sudah berumah tangga tapi sangat sesuai untuk semua lapisan yang sedang meningkat usia remaja.Membina motivasi untuk mengejar cinta yang abadi sebelum mengejar cinta insani..Allahuakbar...

Cerpen : Cinta Kita , Cinta Perjuangan


"Enti menangis..?"
"Untuk apa ana menangis, bukankah enta selalu pesan, jangan menangis kerana manusia."
"Habis, mata enti berair?"
"Mata ana masuk habuk. Kebelakangan ni, selalu sangat mata ana ni berair."Aku tersenyum. Alasan ni dah lapuk sebenarnya, seingat aku semasa aku berumur 7 tahun, aku sudah tidak percaya alasan 'masuk habuk' yang menyebabkan mata seseorang berair. Filem-filem Melayu yang mengajar aku.
"Ana tahu enti menangis.."
"Tidak…!! Tak faham-faham ke?!" Dia tiba-tiba membentak.
"Oklah.. oklah.. mata enti masuk habuk. Ginilah, kapal terbang akan bertolak besok pukul 7.00 petang. Kalau enti nak hantar pun hantarlah. Kalau tak nak pun, kapal terbang tu tetap akan bertolak. Ana pergi cuma 2 tahun, tak lama.." "Insya-Allah ana akan hantar. Tapi kalau ana tak hantar pun, ana harap enta tidak kecil hati. Ana takut berlalu fitnah. Maklumlah, kita bukannya diikat dengan ikatan yang sah lagi. Sekadar pertunangan…"
"Pertunangan bukannya ikatan yang sahkah..?"
"Bukan itu maksud ana, namun setidak-tidaknya ia kan boleh putus bila-bila masa sahaja. Sekali dihempas ombak, sekali pantai berubah.."
"Pantai berubah kerana ombaklah tunangnya. Cuba jika bulan menjadi gerhana, atau matahari hilang sinarnya, berubahkah pantai?" Aku berfalsafah. Dan memang dia akan selalu kalah kalau beradu bahasa denganku. Temannya yang sering dibawa apabila berjumpa denganku tergelak kecil. Satu sokongan moral untukku.
"Enta punya pasallah. Ana nak pergi. Jumpa lagi besok. Assalamualaikum.." Aku tidak menjawab salamnya. Bukankah menjawab salam dari seorang wanita yang bukan mahram hukumnya makruh?

…………………………………………


"Ana tak setuju dengan pandangan ustaz!!" Seorang muslimah bangun membentak. Aii.. ada juga yang berani rupanya. "Bukankah demokrasi telah lama memperdayakan kita? Adakah Rasulullah SAW berjuang untuk mendapatkan kuasa baru dilaksanakan syariah seperti yang terdapat dalam hukum demokrasi..?" Dia berhenti seketika. Mengambil nafas rasanya. Ini baru kali pertama aku melihat dia bangun berucap di khalayak.
"Kalaulah demokrasi boleh gagal di Turki, boleh gagal di Algeria, kenapa tidak di negara kita? Ustaz bercakap terlalu yakin dengan demokrasi. Di mana pula komitmen ustaz terhadap pembinaan tanzim seperti yang diajar oleh Hassan Al-Banna dan Syed Qutb?" Suasana semakin bising. Apabila seorang pembentang kertas kerja seperti aku ditentang di khalayak ramai, ia satu kejanggalan yang ketara. Sekalipun Dewan Badar ini sudah cukup sejuk, namun ia tetap 'hangat' pada malam ini.
"Ana rasa ustazah sudah silap faham terhadap pandangan ana. Ana cuma ingin menyatakan, kadang-kadang demokrasi boleh digunakan untuk mendapatkan kuasa selagi mana diizinkan. Ciri demokrasi yang paling ketara ialah pemilihan pemimpin melelaui majoriti. Bukankah Abu Bakar sendiri dipilih melalui majoriti dan bai'ah? Bezanya, bai'ah dahulu dengan tangan, manakala sekarang dengan menggunakan kertas undi. Yang penting, kerelaaan!"
"Baiklah. Cuma ana ingin bertanya, adakah ustaz berpandangan bahawa demokrasi ialah satu-satunya cara untuk memastikan kedaulatan Islam di bumi kita?"
"Hmmm.. sehingga sekarang, ya. Kita masih boleh bergerak bebas, gunakanlah ruang yang ada sekadar yang termampu." "Maaflah ustaz. Ana tidak mampu untuk bersetuju dengan pandangan ustaz." Dia menamatkan 'soalannya' lalu mengambil tempatnya kembali. Aku terkasima sendirian.

………………………………………

"Kau kenal dia Abdullah?" Aku memulakan pertanyaan yang sekian lama tertanam di dalam benakku. Abdullah berhenti menyuap nasi, memaku matanya ke wajahku. Sekarang aku nekad, sekurang-kurangnya aku harus mengenali orang yang begitu berani menongkah pendapatku di tengah khalayak. Suasana di restoran sup tulang yang biasanya sibuk dengan pelanggan malam ini nampaknya begitu lengang seolah-olah memberikan ruang yang cukup untukku berbicara dari hati ke hati dengan Abdullah.
"Ini kali pertama kau bertanyakan soalan kepadaku tentang perempuan. Hai, sudah kau jualkah prinsip kau selama ini. Kau kan tak mahu menjadi hamba cinta?!" Memang hebat Abdullah kalau diberikan peluang untuk menyindir. Mungkin dia terlupa bahawa dia hanya menumpang keretaku untuk datang ke sini atau dia sudah bersedia untuk balik dengan hanya berjalan kaki.
"Jawab soalan aku dulu.."
"Rupa-rupanya, manusia berhati batu macam kau pun tahu erti cinta…" Abdullah belum puas lagi menyindir nampaknya.


"Jawab soalan aku dulu.." Aku memohon untuk kali kedua.
"Baiklah Muhammad, aku tahu sejak malam tu kau sebenarnya ingin mengenali dia. Orang seperti kau ni Muhammad hanya akan 'kalah' dengan kaum yang spesis dengan kau saja. Maksud aku, yang boleh diajak berbincang tentang perkara-perkara yang kau minati yang kebanyakannya adalah membosankan!"
"Jawab soalan aku dulu.." Aku ulangi permintaanku untuk kali seterusnya.
"Ok.. dia, namanya kau sudah tahu. Seorang yang pendiam dan suka menulis. Menurut kakakku yang sebilik dengannya, dia ni sering bangun awal. Sebelum pukul 5 sudah di atas tikar sejadah. Bukan macam… "
"Aku? Hai.. kau ni silap tuju. Kau yang bangun lewat Abdullah.. ok, teruskan."
"Kalau kat asrama, dia ni suka baca Al-Quran, tak suka bersembang kosong, tak suka jalan-jalan dan banyak lagi yang dia tak suka.." Abdullah dengan selamba menceritakan segala-galanya.
"Lagi.. negatifnya?"
"Negatifnya.. banyak.." Abdullah tersenyum sejenak. Lalu menyambung,
"Negatifnya.. pelajaran dia agak sederhana. Tapi bagi aku, itu tidak menjadi masalah. Cuma.. aku tak pasti adakah kau akan setuju dengannya jika aku menyatakan sesuatu."
"Apa dia..? Negatifkah?"
"Tidaklah negatif sangat, namun bertentang dengan aliranmu. Dia terlibat dengan satu pergerakan… rahsia! Maksud aku, pergerakan yang memperjuangkan sesuatu yang tidak selari dengan undang-undang demokrasi."
"Gerakan militankah?"
"Mungkin, namun aku tak pasti. Sebab aktiviti mereka terlalu rahsia. Kau mungkin maklum, manhaj mereka berasaskan semangat 'hazar' yang dididik oleh gerakan Ikhwanul-Muslimin. Ketaatan mereka kepada amir mereka melebihi ketaatan mereka kepada sesiapa saja.. termasuklah ibubapa mereka sendiri!!"
"Sampai begitu sekali.. matlamat mereka?"
"Sama macam kau, memperjuangkan Islam! Tapi mereka lebih praktikal. Mereka dilatih dengan marhalah-marhalah tarbiyyah mereka sendiri. Dan mereka menyintai syahid. Tidak macam kita rasanya, kita bercakap tentang Islam, tapi kita berehat lebih banyak dari bekerja! Dan kau jangan terkejut kalau mereka sebenarnya mempunyai hunungan dengan rangkaian peringkat nasional malah antarabangsa termasuk gerakan Hamas dan Briged Aqsa di Palestin!"
"Kalaulah.. aku memilihnya menjadi teman hidupku, adakah ketaatannya kepada jemaahnya melebihi ketaatan kepadaku sebagai suami?" Aku mengutarakan soalan bonus untuk Abdullah.
"Aku pasti, dia akan memenuhi tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Namun kalau kau harap dia akan memecahkan rahsia gerakannya dan menderhakai bai'ahnya kepada jemaah, lebih baik kau bercinta dengan bulan sahaja!"

…………………………………………

Aku tidak tahu kenapa aku harus memilih dia. Dia bukanlah yang tercantik di bumi ini. Aku pasti. Tidak juga yang terkaya. Jauh sekali dari yang terbijak di dalam pelajaran. Namun aku yakin, dia yang terbaik untukku. Ciri-ciri muslimah sejati terserlah ketara pada dirinya yang membuatkan diriku terasa tenang sekali apabila memandangnya. Langkahnya yang teratur dan pandangannya yang dijaga adalah benih-benih keimanan yang terserlah dari hati yang dididik dengan ketaqwaan. Tapi persoalan yang dibangkitkan oleh Abdullah membuatkan aku termenung sejenak. Bolehkah aku hidup dengan orang yang berlainan aliran perjuangannya denganku. Bahagiakah aku?
"Ustaz sudah fikirkan masak-masak..?"
"Bukan setakat masak, ana rasa sudahpun rentung. Cuma bagi pihak ustazah, adakah ustazah setuju menerima ana. Maksud ana, dengan segala kekurangan yang ana miliki.
"Ustaz orang famous. Siapalah ana. Ana rasa tak layak sebenarnya." Dia merendahkan diri namun dalam intonasi suara yang masih terkawal.
"Ini bukan soal famous atau tidak. Sekurang-kurangnya, sebelum ana ke bumi ambiya' ana sudah mempunyai 'ikatan' di sini. Dan ana memilih ustazah yang ana yakini boleh menjadi ibu kepada anak-anak ana nanti." Aku berterus-terang. Dari mana datangnya kekuatan untuk berbuat demikianpun aku tidak tahu.
"Ustaz tidak main-mainkan ana?"
"Hanya orang yang tidak ada perasaan sahaja yang sanggup main-mainkan perasaan orang lain."
"Jemputlah ke rumah, jumpa dengan ibu ayah ana.." Dia terus mematikan talian telefon. Pantas dan cepat. Kak Yang yang aku tugaskan untuk menjadi 'perisik'ku memang sudah memberikan amaran kepadaku, orang ini jarang sekali bergayut di telefon apatah lagi dengan lelaki bukan mahramnya.

…………………………………………

Sudah lima bulan aku di bumi ambiya', suasana pembelajaran di sini jauh lebih mencabar dari yang kuperolehi di bumi Malaysia. Benarlah kata orang, bumi ambiya' ini mengajar kita berdikari. Hilang seketika soal cinta dari benak fikiranku. Namun kekadang bayangannya tetap mendatangi ruang mata terutama ketika aku merebahkan badan. Namun seperti yang sering kutegaskan padanya..
"Mungkin cinta ana pada enti sudah cukup besar, namun cinta ana pada ilmu dan juga kepada Allah jauh lebih besar.." dan dia akan terus menyambung, "Mungkin ketaatan ana pada akh cukup dituntut, namun ketaatan ana pada perjuangan dan jemaah lebih-lebih lagi dituntut.."
Dan biasanya aku akan 'cemburu' dengan kata-katanya. Namun akan terus kubisikkan kepada diriku, bukankah dia taat kepada perjuangan dan kenapa aku harus cemburu. Dia juga berjuang dan perjuangannya juga kerana Allah. Cuma, apa yang menjadi rahsia ialah langkah-langkah pergerakannya yang sehingga kini masih menjadi misteri bagiku. Hari itu, selepas menadah kitab Al-Umm dengan seorang senior di Rumah Melayu, aku bergegas ke Ciber Café yang menjadi rumah 'kedua'ku. Ku buka laman web Utusan Online, satu tajuk berita yang cukup menarik perhatianku, "SEORANG WANITA MALAYSIA TERLIBAT DALAM SERANGAN BERANI MATI DI TEL AVIV' Ku tinggalkan seketika pelayar web tersebut apabila satu lagi pelayar web menunjukkan mesej : "you have 1 unread message' namun jangkaanku meleset apabila inboxku hanya dihiasi dengan e-mail dari Abdullah dan bukan dari si dia yang kunanti-nantikan. "Muhammad, kau apa khabar? Muhammad, aku ada satu khabar penting. Aku harap kau tidak terkejut. 'Dia' yang kau amanahkan padaku untuk 'tengok-tengok' telah diperintahkan bersama-sama kawan-kawannya untuk ke Palestin membantu Gerakan Briged Aqsa melakukan serangan istisyhadiah ke atas Israel. Ini kerana rakyat Malaysia yang memasuki Israel tidak akan disyaki apa-apa kerana dianggap sebagai pelancong. Muhammad, kau lihat tajuk berita hari ini, wanita yang terkorban dalam serangan istisyadiah itu ialah 'dia', tunang kau yang kau perintahkan untukku menjaganya. Maafkan aku Muhammad..!!" Serta merta ku teringat panggilan telefon darinya beberapa hari yang lepas,
"Akhi, kalaupun cinta kita tidak bertaut di dunia, biarlah ia bertaut di syurga. Kerana cinta kita ialah cinta perjuangan..!!"
Seterusnya, aku rebah dari kerusi dan kudapati alam di sekelilingku gelap gelita!
The End~ Wassalam~


"Yang dicari walau bukan putera raja, biarlah putera agama. Yang diimpi, biarlah tak punya rupa, asal sedap dipandang mata. yang dinilai, bukan sempurna sifat jasmani, asalkan sihat ruhani, sempurna hati. Yang diharap, bukan jihad pada semangat, asal perjuangannya ada matlamat. Yang datang, tak perlu rijal yang gemilang, kerana ana serikandi dengan silam yang kelam. Yang dinanti, bukan lamaran dengan permata, cukuplah akad dan janji setia. Dan yang akan terjadi, andai tak sama kehendak hati, ana redha ketetapan Ilahi" ~khazinatul_asrar~

p/s : Akak minat cerpen nie, akak ambil dalam forum halaqah.net untuk kongsi bersama-sama..

Sayap kiri al-Banna

Sebenarnya sudah lama saya mencari-cari kisah wanita muslimah di belakang Imam Hasan Al-Banna. Sukar juga sebenarnya kerana tidak banyak yg diperkatakan tentang beliau, sayap kiri As-Syahid.  Alhamdulillah, suatu hari Allah mempertemukan saya dengan kisahnya, kisah yang sudah lama ingin saya ketahui.


 

Kita banyak membaca kisah-kisah wanita teladan dari zaman lampau, kadangkala terasa ingin mengetahui kisah zaman ini kerana situasi, latar tempat, masa dan cabarannya berbeza. Saya rasa itu penting dalam kita membaca kisah yg terdahulu, carilah juga suntikan dari zaman sendiri, kisah yang lebih dekat. Sebagaimana pesan Saidina Ali r.a.:



"Didiklah anak-anakmu sesuai mengikut zamannya"



Pesan ini menunjukkan peri pentingnya untuk kita hidup berpijak pada zaman sendiri, usah terlalu idealistik sehingga tidak realistik. Ingin saya kongsikan buat semua kisah wanita dibelakang mujahid ummah yang ulung ini. Moga bermanfaat.



Dia adalah Lathifah As Suri. Dia berdiri disamping Imam Syahid Al Banna. Sejak awal Imam Syahid telah menegaskan bahawa ia inginkan seorang muslimah yang tegar, yang tak lekang dan surut oleh banyaknya halangan dan rintangan dalam berda’awah. Tidak mudah menjadi isteri seorang Hasan Al Banna. Seseorang yang setiap detik kehidupannya sarat dengan kegiatan da’awah. Di pagi buta dia sudah bergegas untuk memulakan berda’wah dan kembali pulang di gelap malam. Boleh dipastikan ia adalah seorang muslimah sejati, yang mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Imam Syahid Al Banna.



Perjuangan Imam Syahid bukanlah suatu hal yang main-main, bukan hanya sekadar da’awah seperti kebanyakan orang waktu itu. Bukan hanya sekadar membangun rumah ibadat. Imam As- syahid sedang dan hendak membangun sebuah peradaban. Dan ia percaya, peradaban tak akan pernah wujud, tanpa seseorang yang ia yakini kesetiaannya. Maka siapapun itu-pendampingnya-harus menyedari bahawa dipundaknya ada amanah yang sama besarnya dengan apa yang di impikan oleh Imam Syahid. Ada dimensi waktu disitu. Maka pertemuan diyakini menjadi suatu hal yang mahal bagi Imam Syahid dan isterinya. Maka bagi Lathifah As Suri menjadi isteri Hasan Al Banna menyimpan begitu banyak cabaran. Sejak awal pernikahan, Lathifah sudah menyedari bahawa dia harus bersedia jika sampai waktu dia harus menjalani hidup bersendirian tanpa seseorang, tempat berlabuh hidup dan cintanya.




Da’wah & Rumah Tangga



Da’wah Ikhwan yang dipimpin oleh suaminya banyak meminta risiko yang bukan ringan-ringan. Penjara bahkan nyawa menjadi penamat logik, yang bila-bila masa boleh menyapanya. Tanpa diminta, Lathifah sudah tahu dan mengerti bagaimana ia harus menempatkan dirinya. Ia memutuskan menutup seluruh aktiviti luarnya. Hanya satu yang ia curahkan, jihad utamanya adalah dilingkup rumahnya sendiri. Mengurus rumah tangga dan membesarkan anak-anak mereka berdua adalah dua hal yang tidak kalah pentingnya dengan yang dilakukan oleh Hasan Al Banna.



Sebelum menikah dengan Hasan Al Banna, Lathifah berasal dari keluarga yang taat beragama. Hingga tak hairan jika ia menyedari betul tuntutan hidup menjadi isteri seorang daie. Malam, dia harus rela untuk terbangun menyambut kepulangan suaminya. Walau jarang-jarang berlaku, Imam As-Syahid sangat berhati-hati, bahkan hanya untuk membuka pintu rumahnya sekalipun. Jauh dilubuk hatinya, Imam As-  Syahid tidak ingin mengganggu tidur bidadari kekasihnya yang telah seharian mengurus rumah dan anak-anak mereka berdua. Imam As-  Syahid bahkan tak segan untuk menyiapkan makan malam untuk dirinya sendiri.



Wanita, Isteri & Ibu




Lathifah tidak pernah mengeluh, walau seharian hanya ia habiskan seputar rumah dan rumah saja. Ia tidak pernah menuntut lebih kepada Imam As- Syahid. Padahal, Lathifah pun -berlepas diri dari ia seorang isteri Imam As-  Syahid- menyimpan banyak potensi. Anak-anak mereka yang berjumlah enam orang sesungguhnya adalah curahan tumpuannya menjalani hidup. Satu-satunya yang pernah membuat dirinya bingung adalah, ketika salah satu anak mereka sakit kuat dan Imam As-  Syahid perlu tetap menjalankan jihadnya. Ia bertanya kepada suaminya,”Bagaimana jika ia meninggal?”. Imam As-Syahid hanya menarik nafas panjang, dan kemudian berkata “Bapa saudaranya lebih tahu bagaimana mengurusnya.” Sejak hari itu, Lathifah menanamkan wawasan keIslaman kepada anak-anaknya. Mendorong mereka untuk membaca, sehingga dalam hidupnya mereka tidak terpengaruh dengan seruan-seruan yang meruntuhkan. Ketika Imam As-Syahid keluar-masuk penjara, Lathifah berusaha bersabar .



Lathifah sangat menyedari peranan dan kewajiban asasi seorang wanita sebagai isteri dan ibu bagi anak-anaknya. Dia  mengosongkan waktunya untuk mendidik anak-anaknya. Dia bahagia melihat anak-anaknya berjaya dalam hal akhlak dan amal. Ini tak mungkin terjadi jika seorang ibu sibuk di luar rumah. Seorang anak tidak mungkin belajar tentang akhlak dan amal dari orang selain ibunya. Ketika Hasan Al-Banna syahid, anak-anaknya belumlah dewasa. Lathifah tidak lantas menyerah. Tak ada resah ataupun ketakutan dalam hatinya. Ia sangat memelihara apa yang dikehendaki oleh almarhum suaminya. Ia tetap berusaha didalam rumah. Lathifah tidak meremehkan hudud (batasan) yang Allah tentukan. Kerananya, tidak hairan diantara anak-anaknya tidak ada ikhtilat (percampuran) - antara anak-anaknya dan sepupunya yang berlainan jenis.


  Pengetahuan & Perjuangan


Tidak ada yang berubah dirumah itu, apa yang Imam As-Syahid inginkan berlaku dalam keluarganya masih tetap di pegang teguh oleh Lathifah. Sendirian, ia membesarkan keenam anaknya. Dirumahnya kini ia mempunyai tugas tambahan, yaitu memperdalam wawasan keIslamannya.Yang dimaksud dengan wawasan keIslamannya adalah membaca Al-Quran dengan tafsirnya, mempelajari Sunnah Rasulullah SAW, haditsnya dilanjutkan dengan usaha kuat untuk menerapkannya. Lathifah juga masih menyempatkan diri mempelajari sejarah para salafussalih dan berita dunia Islam. Lathifah menyedari mengenepikan masalah ini akan menghasilkan persoalan serius. Seorang yang tidak menambah pengetahuan keIslamannya, akan merasa sulit untuk bangga dengan keagungan dan kebesaran Islam. Dengan melalui pemahaman keIslaman yang baik, seorang wanita akan menyedari betapa penting peranannya terhadap keluarga dan masyarakat.




Perjuangan Lathifah membuahkan hasil yang gemilang. Semua anaknya berjaya meraih kelulusan formal dalam pendidikan ilmiah. Yang sulung, bernama Wafa-menjadi isteri Dr.Said Ramadhan. Kedua Ahmad Saiful Islam, pernah duduk di parlimen. Ketiga bernama Tsana, kini sebagai pengajar di Universiti Cairo. Kelima Roja, kini menjadi doktor. Dan Halah sebagai doktor pakar anak di Universiti al-Azhar. Dan terakhir, Istisyhad sebagai doktor ekonomi Islam. Semuanya itu sebagai bukti, betapa berertinya peranan Ibu bagi keberhasilan da’wah sang suami. Selain juga untuk anak-anaknya…..








Buat saya dan kalian


Kisah Lathifah, bidadari hidup As-syahid Hassan Al-Banna boleh kita jadikan contoh untuk membakar spirit perjuangan kita, banyak lagi kisah-kisah srikandi yang lain.



Andai dipanjangkan umur, perjalanan hidup kita masih jauh, saat ini masih di kampus, 2,3 tahun mendatang alam baru akan ditempuhi. Saya menyeru diri dan teman-teman, kita perlukan persiapan yang kukuh untuk sebuah perjuangan hidup yang panjang. Saya kira kita tidak perlu segan unutuk berbicara tentang Baitu Da’wah yang akan masing-masing kita bina. 








 Tapaknya adalah kefahaman Islam yang sebenarnya, memahami tuntutan sebuah perjuangan, bukan tuntutan nafsu, kerana ‘Istana’ yang dibina ini juga adalah wasilah untuk kita ke syurga.
 Saya dan kalian punya dream yang berbeza, namun pokoknya adalah biar Bait Da’wah yang dibina ini makin menguatkan langkah perjuangan kita, malah menjadi tapak untuk lahirnya generasi yang akan menyambung perjuangan agar Islam kan terus gemilang dengan pendokong-pendokongnya.
 Buat akhawat, siapkan diri sepenuhnya kerana kita akan menjadi sayap kiri dalam Bait Da’wah nanti. Andai masa ini kita masih lagi bersikap sambil lewa terhadap amalan diri , kurangnya ilmu, kurang berdisiplin, bersikap negatif..mungkin Bait Da’wah yang akan kita bina nanti hanya tinggal angan kosong.


Moga kita akan  menjadi seperti Lathifah, tegar di sisi A-syahid Imam Hassan Al-Banna..
 Ya Allah, jadikanlah kami srikandi sejati yang menyedari dan memahami tuntutan perjuangan Islam, tidak kan meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan Ummat, kurniakanlah kami cinta-MU sehingga kami tidka kan pernah meminta cinta selain-MU, dan tidakkan kami goyah pada cinta dunia ini kerana hebatnya rasa penggantungan dan rasa Cinta pad-MU..

Sumber : Jundatullah