
Setiap hari kita ketawa. Setiap hari kita jumpa kawan. Setiap hari kita dapat apa yang kita nak.
Tapi..kenapa hati kita tak gembira?
Kita sembahyang setiap hari. Kita berdoa selalu pada Allah. Kita mintak sungguh-sungguh pada Allah. Tapi..kenapa susah sangat doa kita nak makbul? Sedangkan Allah ada berfirman. "Berdoalah pada Ku, nescaya akan Ku kabulkan...,"
Apa masalah kita?
Hati kita tak gembira sebab kita tak pernah bersyukur dengan apa yang kita ada. Kita tak pernah nak menghargai setiap nikmat yang kita dapat. Kita asyik memikirkan benda yang kita tak ada, sampai kita lupa melihat nikmat sekeliling kita.
Kita berdoa, tapi kenapa payah sangat doa kita Allah nak makbulkan?
Sebab kita asyik meminta pada Allah, tapi kita tak pernah mintak ampun pada Allah, sedangkan dosa-dosa kita terlampau banyak pada Allah. Alangkah tidak malunya kita. Kita merintih, kita merayu agar Allah makbulkan doa kita. Tapi, lepas kita dapat kesenangan kita lupa pada Allah, kita tak bersyukur pada Allah. Bila dah datang kesusahan, baru nak ingat Allah balik. Baru nak menangis, merintih..mintak Allah pandang kita. Macam mana Allah nak makbulkan doa kita?
Cuba kita renung diri kita. Cuba hitung, berapa kali kita sebut kalimah syukur dalam satu hari? Tak payah seminggu, cukuplah sehari sahaja. Berapa kali agaknya? Itupun kalau ada sebut la..
Pernah kita bangun malam, solat sunat...solat tahajud..solat taubat? Pernah? Ada...waktu zaman sekolah dulu. Itupun, lepas kene ketuk dengan warden, suruh bangun. Lepas tu...ada? Ada...time dah nak exam...waktu rasa result macam ada aura nak fail. Siap buat solat hajat lagi! Lepas dapat result tu, ada tak buat sujud syukur? Hmm...entah la, tak ingat pulak.
Hari-hari kita buat baik. Kita tolong orang. Kita sedekah dekat orang. Kita buat macam-macam. Tapi kenapa kita tak dapat nak rasa kemanisan setiap perbuatan yang kita lakukan tu? Hati kita tetap jugak tak tenang. Kenapa ye? Sebab dalam hati kita tak ada sifat ikhlas. Mulut cakap ikhlas, hati kata lain. Macam mana tu? Kita tolong orang sebab nak harapkan balasan. Nakkan pujian. Nakkan nama. Kita riak dengan setiap kebaikan yang kita buat. Macam mana hati nak tenang? Bila dapat kejayaan, kita bangga dengan apa yang kita ada. Mula nak menunjuk-nunjuk dekat orang. Sampai lupa siapa sebenarnya yang bagi kejayaan tu dekat kita.
Alangkah tidak malunya kita..., Allah ciptakan kita sebagai khalifah di bumi ni. Kitalah sebaik-baik kejadian yang Allah pernah ciptakan sehinggakan semua makhluk sujud pada bapa kita, Nabi Adam kecuali Iblis Laknatullah. Betapa Allah muliakan kejadian manusia. Tapi, kita sendiri tidak memelihara diri kita. Kita lupa tanggungjawab kita sebagai hamba. Kita lupa kepada yang mencipta diri kita. Bahkan, kita alpa dengan nikmat yang ada. Nabi Muhammad s.a.w, pada saat malaikat ingin mencabut nyawa Baginda, Baginda masih memikirkan umat-umatnya. Ummati! Ummati! Sampai begitu sekali sayang Rasulullah pada kita. Tapi kita....? Kita lupa pada Baginda Rasul. Berat benar lidah kita nak berselawat ke atas baginda. Macam mana hati kita nak tenang?
Lembutkanlah hati kita. Tundukkan lah diri kita pada Allah. Bersyukur dengan nikmat yang Allah pinjamkan pada kita. Semua itu tidak akan kekal. Bila-bila masa Allah boleh tarik balik semua itu. Ikhlas kan lah hati dalam setiap perkara yang kita buat.
Sesungguhnya, hanya Allah sahaja yang berkuasa menilai keikhlasan hati kita. Insya Allah, kita akan dapat merasai kelazatan halawatul iman itu sendiri. Tenanglah dikau wahai hati...
Pengarang: Cahyadi takariawan
Harga : RM22.00
Ulasan Oleh : Mohamad Zul Hilmey Bin Makmud
Alhamdulillah.. Dalam segenap kesibukan dan kelumatan masa yang sentiasa persis, akhirnya dapat juga buku tulisan Ust. Cahyadi Takariawan ini dikhatam.. Kebetulan pula Allah SWT menguji dengan penyakit demam, hikmahnya bolehlah menghabiskan pembacaan sambil terbaring lemah di atas katil rumah..
Tidak banyak yang mampu saya coret untuk memberikan komentar sekitar kandungan dan perkongsian dari buku ulung ini.. Masa tidak mengizinkan.. Hanya bait-bait kata penutup yang seingat saya mampu dan menarik sekali untuk diulang sebut.. Yang selebihnya, carilah sendiri buku ini dan lanjutkan pembacaan anda dengannya..
“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam cinta, kasih sayang dan kelembutan hati mereka adalah seperti satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh menderita sakit, terasakanlah sakit tersebut di seluruh tubuh hingga tidakboleh tidur dan panas”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Boleh jadi kebahagiaan pernikahan kita telah menyakitkan dan mengiris perasaan hati beberapa orang lain. Setiap saat mereka mendapatkan undangan pernikahan, harus membaca, dan menghadiri dengan perasaan yang sedih, kerana jodoh tak kunjung datang, sementara usia terus bertambah, dan kepercayaan diri semakin berkurang.
Disinilah perlunya kita berfikir tentang kemaslahatan dakwah dalam proses pernikahan muslim.
Di jalan apakah Anda menikah?
"DI JALAN DAKWAH, AKU MENIKAH"
Pernikahan berarti mempertemukan kepentingan-kepentingan dan bukan mempertentangkannya.
Menikah adalah peristiwa fitrah, fiqhiyyah, dakwah, tarbiyah, sosial dan budaya.
Fitrah artinya pernikahan merupakan salah satu sarana mengekspresasikan sifat-sifat dasar kemanusiaan (kecenderungan terhadap lawan jenis).
Fiqhiyyah artinya pernikahan memiliki sejumlah aturan fiqh yang jelas (dari proses pembentukan keluarga, setelah terbentuknya keluarga, permasalahan dan solusinya).
Dakwah artinya pernikahan merupakan deklarasi tentang jati diri Islam kepada masyarakat.
Tarbiyah artinya dengan pernikahan akan menguatkan sisi-sisi kebaikan individual dari laki-laki dan perempuan yang menikah tersebut.
Sosial artinya dengan pernikahan, terhubungkanlah dua keluarga besar pihak laki-laki dan perempuan.
Budaya artinya dengan pernikahan, terbaurkanlah dua latar budaya yang tidak mesti sama dari kedua belah pihak.
Sebelum nikah, buku ini 'wajib' dibaca! Kalau dah nikah pun tiada salahnya membaca juga. Sebagai peringatan bagi yang akan dan telah berkeluarga
Daripada Abu Ruqaiyyah Tamim ibn Aus al-Daarie r.a. bahawa Nabi SAW telah bersabda: “Agama itu adalah nasihat.” Kami berkata: “Untuk siapa?” Baginda bersabda: “Untuk Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk para lmam kaum muslimin dan untuk umat lslam seluruhnya.”
Hadis riwayat al-lmam Muslim.
Pengertian nasihat
Agama Islam adalah agama Allah, dan agama menurut Rasulullah SAW adalah nasihat yang terbaik untuk umatnya. Dalam Bahasa Arab, nasihat membawa maksud yang dinasihati akan mendapat faedah daripada nasihat yang telah diberi. Ia juga membawa erti bahawa yang menasihati hendaklah menggunakan perkataan yang terbaik dan ikhlas bersih dari maksud yang tidak baik.
Adab-adab memberi nasihat
4. Memikirkan cara yang terbaik untuk menasihati saudara. Seboleh-bolehnya mengenali dulu saudara yang bakal kita nasihati itu. Nasihatilah mereka dengan kasih sayang dan jadilah sebahagian dari mereka, kerana dari situ kita akan tahu apa puncanya mereka begitu.
5. Memberi waktu dan kesempatan kepada saudara yang dinasihati untuk mengubah sifat buruk/ kesalahan yang dilakukannya. Manusia perlukan masa untuk berubah, jangan memaksa mereka untuk berubah mendadak, ia bukan dalam lingkungan tugas seorang pendakwah. Dalam berdakwah perlu akan sifat sabar dan berserah kepada Allah. Jadilah orang yang sentiasa mengharap pertolongan Allah dan jangan mudah putus asa di atas nasihat yang diberikan kerana itu mungkin ujian yang telah ditentukan oleh Allah untuk menguji kesabaran.
Ayuh semua sahabatku, kita renungkan kembali perkara yang telah kita lakukan selama ini, nasihat yang telah kita berikan kepada orang lain atau nasihat yang diperolehi daripada orang lain, adakah kita sudah melaksanakan amanah ini? Jangan jadi golongan yang hanya tahu menasihati sedangkan mereka tidak sedia untuk dinasihati.
DARIPADA Abdullah, katanya: “Aku datang mengunjungi Rasulullah SAW ketika Baginda sakit, lalu kusentuh Baginda seraya berkata: “Ya Rasulullah! Demam anda bertambah teruk.”
Jawab Baginda: “Memang demamku sama dengan demam dua orang kamu.”
Aku berkata: “Semoga anda mendapat pahala berganda pula.”
Balas Baginda: “Semoga!” Kemudian sabda Baginda pula: “Tidak ada seorang Muslim yang ditimpa cubaan berupa sakit dan sebagainya melainkan dihapuskan Allah dosanya, seperti pohon kayu menggugurkan daunnya.” (Hadis riwayat Muslim)
Segala bencana, penyakit, kesusahan atau kerunsingan yang menimpa tubuh badan atau akal fikiran seseorang mukmin menjadi ‘kaffarah’ (penghapus) kekotoran dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana itu.
Anas berkata, Rasulullah bersabda: "Bahawa besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian; dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum diuji mereka, kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan redha, maka dia akan beroleh keredhaan Allah, dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu, maka dia akan mendapat kemurkaan daripada Allah." (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah).
ANALISA (shoutul amal)
Analisa….anlisa….analisa siapa kita.. 3x
Adakah mengucap kalimah syahadah
Solat 5 waktu puasa zakat
Pergi ke mekah tunaikan haji
telah dikira muslim sejati
Sedangkan sembahyang tiada kekusyukan
Puasa dikejar banyak kekurangan
Keluarkan zakat kerana terpaksa
Tunai haji untuk pangkat dan nama
Analisa….anlisa….adakah islam sempurna 2x
Kita mengaku adanya tuhan
Namun larangan tetap di lakukan
Ada malaikat kiri dan kanan
Tidak di endah akan kehadiran
Percaya rasul dan para nabi
Sunah mereka tidak dituruti
Qur’an dibaca tiada penghayatan
Intipatinya tak diamalkan
Hidup akhirat engkau yakini
Masih mengejar nikmat duniawi
Qada’ dan qadar telah ditentukan
Ditimpa musibah tidak redha dan kesabaran
Analisa…analisa… adakah iman sempurna.. 2x
Makhluk termulia di mana pada
Kerana tinggi akhlak dan taqwa
Tapi sekiranya ia tiada
Renungkan diri cari jawapannya
Analisa…setinggi manakah taqwa
Analisa…semulia manakah kita
Analisa…adakah kita hamba kepadanya
Tanyalah diri kita…

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.
1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-
2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-
3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-
4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-
5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-
PENERANGAN HADIS
1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.
2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.
3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.
4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.
5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.
6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.
7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.
8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.
9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.
10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.
11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.
Rujukan
1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah.
2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-'Asqalani
3. Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi.
Salam juang buat pengunjung blog akak.Bertemu lagi dalam wacana ilmiah kali ini bicara mengenai "Pasangan & Perjuangan".
Di dalam membawa perjuangan Islam di tengah-tengah masyarakat yang tenggelam dengan berbagai nilai dan pengaruh asing, maka para pendakwah harus menginsafi bahawa institusi keluarga merupakan kubu dan markaz operasi yang sangat penting.
Bila kita menyebut perkataan "keluarga" maka janganlah digambarkan ianya adalah rumah yang kemas, kereta yang selesa, barang-barang perhiasan yang menyerikan dan seumpamanya. Bahkan hakikat sebenar "keluarga" ialah pasangan suami isteri dan seterusnya anak-anak setelah mana pasangan suami tersebut dikurniakan Allah zuriat. Suami dan isteri seharusnya memastikan bahawa mereka berdua adalah merupakan kubu dan markaz operasi Dakwah ke dalam masyarakat. Untuk mencapai peranan ini, perkara-perkara berikut hendaklah diambil perhatian dalam membentuk keluarga :
1- Suami atau isteri sebelum melangsungkan perkahwinan hendaklah terlebih dahulu dibentuk atau didik dengan didikan Islam yang baik. Ini termasuk memahami Islam dan menghayatinya di dalam seluruh aspek kehidupan, memahami bahawa dia ditugaskan oleh Allah swt untuk membawa Risalah Islam ini bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga keluarganya yang akan dia bentuk nanti seterusnya kepada umat sejagat di muka bumi.
2- Ketika diambang perkahwinan, bakal suami dan bakal isteri yang sedang mencari jodoh harus memahami bahawa keluarga yang bakal dibentuk adalah merupakan anak tangga yang penting untuk melangkah seterusnya menuju pembentukan negara dan khilafah yang diredhai Allah swt. Hanya pasangan yang memahami dengan pemahaman yang akan nanti berperanan menyokong dan mendokong perjuangan pasangannya. Tatkala ramai pejuang Islam di Mesir dipenjarakan di zaman Presiden Jamal Abdul Naser termasuk Asy-Syeikh Mustafa Masyhur, isteri beliau sering mengingatkan anak-anaknya bahawa ayah mereka dipenjara kerana aqidah dan perjuangannya, sambil tidak menunjukkan kesan sedih atau kecewa di atas dugaan yang berlaku. Dalam ketiadaan pencari nafkah kerana dipenjara, isteri Mustafa Masyhur sempat menggembirakan anak-anaknya di Hari Raya dengan menjahit baju-baju Raya untuk mereka dari kain yang diambil dari langsir tingkap dan sarung kusyen di rumah! Demikian salah satu contoh mereka yang memahami erti perjuangan dan kepentingan keluarga dalam melalui jalan Dakwah ini.
3- Perjuangan adalah lebih penting dari keluarga. Namum pejuang Islam adalah lebih cemerlang dalam mengemudikan keluarganya berbanding dengan orang lain yang tidak berjuang. Selepas ditabalkan menjadi raja sehari, Asy-Mustafa Masyhur berkata kepada si isteri yang baru dikahwininya bahawa dia adalah isteri yang kedua. Dia sebenarnya telah berkahwin dengan isteri pertama yang sangat disayanginya dan tak mungkin akan berpisah dengannya. Dia harap agar isteri kedua yang baru dikahwini ini tidak akan cemburu terhadap isteri pertama tersebut yang telah dikahwini sejak sekian lama. Isterinya bertanya, "Siapakah dia?". Mustafa Masyhur menjawab, "Isteri Pertama itu ialah Dakwah Ilallah (Perjuangan Menegakkan Agama Allah)". Isterinya menjawab,"Isteri Pertama itu adalah tuanku dan aku adalah khadamnya". Walaupun Dakwah mendapat tempat terpenting dalam hati mereka melebihi keluarga namum kebahgiaan dan kejayaan mewarnai keluarga yang dibina. Setelah 51 tahun hidup bersama, akhirnya si isteri meninggalkan suami yang dikasihi di dunia yang fana ini pada tahun 1996, dan si suami menyusul kemudian menuju kepada yang dirindui pada tahun 2004.
4- Pilihlah pasangan berdasarkan agamanya, bukan sekadar rupa paras, harta dan kedudukannya. Agama bermakna ilmu fardhu ain, akhlak, semangat juang, pengalaman, sikap, matlamat hidup dan sebagainya dari kualiti-kualiti dalaman diri bukan luarannya. Kualiti luaran seperti rupa paras, harta dan kedudukan akan pupus atau berkurangan dan membosankan di hari muka tetapi kualiti dalaman akan kekal bahkan bertambah lalu meningkatkan seri dan harmoni dalam rumahtangga. Kualiti dalaman akan memberi kesan mendalam kepada anak-anak dalam membentuk keperibadian mereka.
Berapa ramai yang kita lihat memiliki rupa paras, harta, dan kedudukan tetapi ianya sedikitpun tidak membantu dalam mengutuhkan institusi rumah tangga mereka. Hutang keliling pinggang, anak-anak meliar dan terjebak di dalam berbagai masalah sosial, tiada keharmonian dan kepuasan hati walau rumah besar dan perhiasan memenuhi ruang dan dinding. Ada koporat yang terpaksa makan sebiji pil tidur setiap malam sedang isteri makan setengah pil yang sama dan anak-anak bermacam-macam ragam yang merunsingkan.
Bukan contoh hanya terhad kepada mereka yang kurang memahami dan menghayati Islam dan bentuknya yang syumul dan lengkap, tetapi juga mereka yang pernah atau sedang terlibat di dalam Dakwah Islam juga adakalanya tidak terkecuali dalam menghadapi masalah yang sama. Masalah pengendalian rumah tangga, pendidikan Islam anak-anak dan sebagainya sehingga ke tahap tidak ada beza diantara keluarga duat (para pendakwah) dengan keluarga mad'u atau awam (masyarakat yang didakwahkan) . Kesannya, pasangan tidak memahami dan adakalanya menghalang secara langsung atau tak langsung aktivisma pasangannya dalam perjuangan umat, anak-anak tidak berminat menyertai aktiviti-aktiviti tarbiyah yang diatur kecuali jika dipaksa atau diajak berulangkali, anak terlibat dalam gejala sosial dan sebagainya.
Diantara masalah pasangan ialah tidak sepakat dalam merancang masadepan anak-anak, pemilihan sekolah anak-anak (samada sekolah Islam, sekolah agama, sekolah biasa, sekolah swasta, sekolah kerajaan dsb), budget bulanan (samada untuk yuran pendidikan dan tarbiyah anak-anak atau tukar kereta baru atau tambah bahagian rumah yang baru), jenis pakaian anak-anak terutama anak-anak perempuan, hobi anak-anak dan pasangan sendiri yang boleh memberi kesan langsung atau tak langsung kepada persekitaran keluarga dan sebagainya.
Mudah-mudahan sedikit tulisan ini dan tulisan-tulisan seterusnya akan membantu kita memimpin dan melayari kehidupan rumahtangga Islam yang berjaya. Sekian, terima kasih.
-Petikan penulisan dari Ustaz Halim, N'9-









