DARIPADA Abdullah, katanya: “Aku datang mengunjungi Rasulullah SAW ketika Baginda sakit, lalu kusentuh Baginda seraya berkata: “Ya Rasulullah! Demam anda bertambah teruk.”
Jawab Baginda: “Memang demamku sama dengan demam dua orang kamu.”
Aku berkata: “Semoga anda mendapat pahala berganda pula.”
Balas Baginda: “Semoga!” Kemudian sabda Baginda pula: “Tidak ada seorang Muslim yang ditimpa cubaan berupa sakit dan sebagainya melainkan dihapuskan Allah dosanya, seperti pohon kayu menggugurkan daunnya.” (Hadis riwayat Muslim)
Segala bencana, penyakit, kesusahan atau kerunsingan yang menimpa tubuh badan atau akal fikiran seseorang mukmin menjadi ‘kaffarah’ (penghapus) kekotoran dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana itu.
Anas berkata, Rasulullah bersabda: "Bahawa besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian; dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum diuji mereka, kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan redha, maka dia akan beroleh keredhaan Allah, dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu, maka dia akan mendapat kemurkaan daripada Allah." (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah).
ANALISA (shoutul amal)
Analisa….anlisa….analisa siapa kita.. 3x
Adakah mengucap kalimah syahadah
Solat 5 waktu puasa zakat
Pergi ke mekah tunaikan haji
telah dikira muslim sejati
Sedangkan sembahyang tiada kekusyukan
Puasa dikejar banyak kekurangan
Keluarkan zakat kerana terpaksa
Tunai haji untuk pangkat dan nama
Analisa….anlisa….adakah islam sempurna 2x
Kita mengaku adanya tuhan
Namun larangan tetap di lakukan
Ada malaikat kiri dan kanan
Tidak di endah akan kehadiran
Percaya rasul dan para nabi
Sunah mereka tidak dituruti
Qur’an dibaca tiada penghayatan
Intipatinya tak diamalkan
Hidup akhirat engkau yakini
Masih mengejar nikmat duniawi
Qada’ dan qadar telah ditentukan
Ditimpa musibah tidak redha dan kesabaran
Analisa…analisa… adakah iman sempurna.. 2x
Makhluk termulia di mana pada
Kerana tinggi akhlak dan taqwa
Tapi sekiranya ia tiada
Renungkan diri cari jawapannya
Analisa…setinggi manakah taqwa
Analisa…semulia manakah kita
Analisa…adakah kita hamba kepadanya
Tanyalah diri kita…

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.
1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-
2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-
3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-
4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-
5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-
PENERANGAN HADIS
1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.
2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.
3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.
4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.
5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.
6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.
7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.
8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.
9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.
10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.
11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.
Rujukan
1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah.
2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-'Asqalani
3. Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi.
Salam juang buat pengunjung blog akak.Bertemu lagi dalam wacana ilmiah kali ini bicara mengenai "Pasangan & Perjuangan".
Di dalam membawa perjuangan Islam di tengah-tengah masyarakat yang tenggelam dengan berbagai nilai dan pengaruh asing, maka para pendakwah harus menginsafi bahawa institusi keluarga merupakan kubu dan markaz operasi yang sangat penting.
Bila kita menyebut perkataan "keluarga" maka janganlah digambarkan ianya adalah rumah yang kemas, kereta yang selesa, barang-barang perhiasan yang menyerikan dan seumpamanya. Bahkan hakikat sebenar "keluarga" ialah pasangan suami isteri dan seterusnya anak-anak setelah mana pasangan suami tersebut dikurniakan Allah zuriat. Suami dan isteri seharusnya memastikan bahawa mereka berdua adalah merupakan kubu dan markaz operasi Dakwah ke dalam masyarakat. Untuk mencapai peranan ini, perkara-perkara berikut hendaklah diambil perhatian dalam membentuk keluarga :
1- Suami atau isteri sebelum melangsungkan perkahwinan hendaklah terlebih dahulu dibentuk atau didik dengan didikan Islam yang baik. Ini termasuk memahami Islam dan menghayatinya di dalam seluruh aspek kehidupan, memahami bahawa dia ditugaskan oleh Allah swt untuk membawa Risalah Islam ini bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga keluarganya yang akan dia bentuk nanti seterusnya kepada umat sejagat di muka bumi.
2- Ketika diambang perkahwinan, bakal suami dan bakal isteri yang sedang mencari jodoh harus memahami bahawa keluarga yang bakal dibentuk adalah merupakan anak tangga yang penting untuk melangkah seterusnya menuju pembentukan negara dan khilafah yang diredhai Allah swt. Hanya pasangan yang memahami dengan pemahaman yang akan nanti berperanan menyokong dan mendokong perjuangan pasangannya. Tatkala ramai pejuang Islam di Mesir dipenjarakan di zaman Presiden Jamal Abdul Naser termasuk Asy-Syeikh Mustafa Masyhur, isteri beliau sering mengingatkan anak-anaknya bahawa ayah mereka dipenjara kerana aqidah dan perjuangannya, sambil tidak menunjukkan kesan sedih atau kecewa di atas dugaan yang berlaku. Dalam ketiadaan pencari nafkah kerana dipenjara, isteri Mustafa Masyhur sempat menggembirakan anak-anaknya di Hari Raya dengan menjahit baju-baju Raya untuk mereka dari kain yang diambil dari langsir tingkap dan sarung kusyen di rumah! Demikian salah satu contoh mereka yang memahami erti perjuangan dan kepentingan keluarga dalam melalui jalan Dakwah ini.
3- Perjuangan adalah lebih penting dari keluarga. Namum pejuang Islam adalah lebih cemerlang dalam mengemudikan keluarganya berbanding dengan orang lain yang tidak berjuang. Selepas ditabalkan menjadi raja sehari, Asy-Mustafa Masyhur berkata kepada si isteri yang baru dikahwininya bahawa dia adalah isteri yang kedua. Dia sebenarnya telah berkahwin dengan isteri pertama yang sangat disayanginya dan tak mungkin akan berpisah dengannya. Dia harap agar isteri kedua yang baru dikahwini ini tidak akan cemburu terhadap isteri pertama tersebut yang telah dikahwini sejak sekian lama. Isterinya bertanya, "Siapakah dia?". Mustafa Masyhur menjawab, "Isteri Pertama itu ialah Dakwah Ilallah (Perjuangan Menegakkan Agama Allah)". Isterinya menjawab,"Isteri Pertama itu adalah tuanku dan aku adalah khadamnya". Walaupun Dakwah mendapat tempat terpenting dalam hati mereka melebihi keluarga namum kebahgiaan dan kejayaan mewarnai keluarga yang dibina. Setelah 51 tahun hidup bersama, akhirnya si isteri meninggalkan suami yang dikasihi di dunia yang fana ini pada tahun 1996, dan si suami menyusul kemudian menuju kepada yang dirindui pada tahun 2004.
4- Pilihlah pasangan berdasarkan agamanya, bukan sekadar rupa paras, harta dan kedudukannya. Agama bermakna ilmu fardhu ain, akhlak, semangat juang, pengalaman, sikap, matlamat hidup dan sebagainya dari kualiti-kualiti dalaman diri bukan luarannya. Kualiti luaran seperti rupa paras, harta dan kedudukan akan pupus atau berkurangan dan membosankan di hari muka tetapi kualiti dalaman akan kekal bahkan bertambah lalu meningkatkan seri dan harmoni dalam rumahtangga. Kualiti dalaman akan memberi kesan mendalam kepada anak-anak dalam membentuk keperibadian mereka.
Berapa ramai yang kita lihat memiliki rupa paras, harta, dan kedudukan tetapi ianya sedikitpun tidak membantu dalam mengutuhkan institusi rumah tangga mereka. Hutang keliling pinggang, anak-anak meliar dan terjebak di dalam berbagai masalah sosial, tiada keharmonian dan kepuasan hati walau rumah besar dan perhiasan memenuhi ruang dan dinding. Ada koporat yang terpaksa makan sebiji pil tidur setiap malam sedang isteri makan setengah pil yang sama dan anak-anak bermacam-macam ragam yang merunsingkan.
Bukan contoh hanya terhad kepada mereka yang kurang memahami dan menghayati Islam dan bentuknya yang syumul dan lengkap, tetapi juga mereka yang pernah atau sedang terlibat di dalam Dakwah Islam juga adakalanya tidak terkecuali dalam menghadapi masalah yang sama. Masalah pengendalian rumah tangga, pendidikan Islam anak-anak dan sebagainya sehingga ke tahap tidak ada beza diantara keluarga duat (para pendakwah) dengan keluarga mad'u atau awam (masyarakat yang didakwahkan) . Kesannya, pasangan tidak memahami dan adakalanya menghalang secara langsung atau tak langsung aktivisma pasangannya dalam perjuangan umat, anak-anak tidak berminat menyertai aktiviti-aktiviti tarbiyah yang diatur kecuali jika dipaksa atau diajak berulangkali, anak terlibat dalam gejala sosial dan sebagainya.
Diantara masalah pasangan ialah tidak sepakat dalam merancang masadepan anak-anak, pemilihan sekolah anak-anak (samada sekolah Islam, sekolah agama, sekolah biasa, sekolah swasta, sekolah kerajaan dsb), budget bulanan (samada untuk yuran pendidikan dan tarbiyah anak-anak atau tukar kereta baru atau tambah bahagian rumah yang baru), jenis pakaian anak-anak terutama anak-anak perempuan, hobi anak-anak dan pasangan sendiri yang boleh memberi kesan langsung atau tak langsung kepada persekitaran keluarga dan sebagainya.
Mudah-mudahan sedikit tulisan ini dan tulisan-tulisan seterusnya akan membantu kita memimpin dan melayari kehidupan rumahtangga Islam yang berjaya. Sekian, terima kasih.
-Petikan penulisan dari Ustaz Halim, N'9-

Ada seorang hamba Allah, dia rajin solat malam dan bermunajat serta berkhalwat dengan Al Kholiq. Setiap malam kedua-dua matanya merah kerana menangis, mengalir air yang membasahi janggutnya, dia berbisik-bisik lirih memohon beberapa permintaan dan pengharapan.
Dari waktu ke waktu, tahun ke tahun, hingga putih rambutnya tak kunjung jua permintaan oleh Allah. Permintaannya (antaranya) adalah agar segera diangkat kemiskinan yang menjadi selimut kehidupannya selama ini dan kesembuhan keluarganya yang sering sakit.
Dahulu, dia sebenarnya seorang pekerja yang selalu menyeleweng. Kehidupannya mewah hasil kerja haramnya. Kuasa Allah dia ditemukan hidayahNya. Bergetar hatinya saat hidayah itu ditiupkan kepadanya. Dia insaf dan menjadi hamba Allah yang sangat taat. Dia menyesal atas segala kesilapannya. Sejak meninggalkan kerja haram itu, penghasilannya semakin merosot. Keluarga selalu ditimpa penyakit. Namun, dia tidak putus-putus berdoa. Makin banyak cubaan atas dirinya, dia tetap yakin padaNya.
Setelah puluhan tahun dia dekat dengan Allah setiap malamnya, dia mula termakan rayuan sang syaitan. Dia mula berfikir, setelah bertahun-tahun berdoa, Allah tidak reda dengan dirinya maka dia pun berhenti berdoa.
"Wahai Allah yang menciptakan malam dan siang, yang dengan mudah menciptakan diriku yang sempurna ini, kerana engkau tidak mengabulkan permintaanku hingga saat ini, mulai besok aku tidak akan meminta dan solat lagi kepadaMu, aku akan lebih rajin berusaha agar tidak bergantung padaMU”
Dia hanya dapat melihat para makhluk yang duduk di hadapan Sesuatu.
Terdengar olehnya suara pertanyaan, "Bagaimana hambaKu si Fulan, hai MalaikatKu?" Seorang berdiri dengan tubuh gemetar kerana takut, dan bersuara dengan lirih, "Subhanaka yaa Maalikul Quddus, Engkau lebih tahu keadaan hambaMu itu. Dia mengatakan demikian :
"Wahai Allah yang menciptakan malam dan siang, yang dengan mudah menciptakan diriku yang sempurna ini, kerana engkau tidak mengabulkan permintaanku hingga saat ini, mulai besok aku tidak akan meminta dan solat lagi kepadaMu, aku akan lebih rajin berusaha agar tidak bergantung padaMU”
Tersentak dia, itu...itu kata-kataku semalam ..oh celaka, pikirnya.
Kemudian terdengar suara lagi :
"Sayang sekali, padahal Aku sangat menyukainya, sangat mencintainya, dan Aku paling suka melihat wajahnya yang terpejam menangis, bersimpuh dengan menengadahkan tangannya yang gemetar kepadaKu, dengan bisikan-bisikan permohonannya kepadaKu, dengan permintaan-permintaannya kepadaKu, sehingga tak ingin cepat-cepat Kukabulkan apa yang hendak aku berikan kepadanya agar lebih lama dan sering aku memandang wajahnya, Aku percepat cintaKu padanya dengan Aku bersihkan ia dari daging-daging haram badannya dengan sakit yang ringan. Aku sangat menyukai keikhlasan hatinya disaat Aku ambil puteranya, di saat kuberi ia cubaan tak pernah Ku dengar keluhan kesal dan menyesal di mulutnya, Aku rindu kepadanya. Rindukah ia kepadaKu, hai Malaikat-malaikatKu?"
Suasana hening, tak ada jawaban. Menyesallah dia atas peryataannya semalam, ingin ia berteriak untuk menjawab dan minta ampun tapi suara tak
terdengar, bising dalam hatinya kerananya.
"Ini aku Yaa Robbi, ini aku. Ampuni aku yaa Robbi, ma-afkan kata-kataKu !" semakin takut rasanya ketika tidak tampak mereka mendengar, mengalirlah air matanya terasa hangat di pipinya.
Astaghfirullah !! Terbangun ia, mimpii... Segeralah ia berwudhu', dan kembali bersujud dengan bertambah khusyu. Kembali ia solat dengan bertambah panjang dari biasanya, kembali ia bermunajat dan berbisik-bisik dengan Al Kholiq dan berjanji tak akan lagi ia ulangi sikapnya malam tadi selama-lamanya.
"...yaa Allah, yaa Robbi jangan Engkau ungkit-ungkit kebodohanku yang lalu, ini aku hambaMu yang tidak pintar berkata manis, datang dengan lumuran dosa dan segunung masalah dan harapan, apapun dariMu asal Engkau tidak membenciku aku rela.. Yaa Allah, aku rindu padaMu... "
Salam buat pengunjung blog akak, baru-baru ini akak dapat panggilan dari sahabat karib akak.Bersembang la kami berdua , rindu sungguh sebab dah lama tidak bertemu.Posting kali ini bukan la untuk cerita mengenai akrabnya persahabatn akak, cuma pertanyaan sahabat akak nie menyebabkan akak teringin berkongsi dengan pengunjung..Akak nak kongsi ilmiah yang akak dapat dari blog Dari Anjung Al Atrak .. Soklan nie la " Enti pi Jordan nanti , naka berPURDAH dak?
yang menyebabkan akak nak kongsi di sini..
Niqab ialah sesuatu yang digunakan oleh wanita bagi menutup bahagian wajah mereka.Cuma yang dipamerkan hanya bahagian mata sahaja.Terdapat lagi istilah-istilah yang ada kaitan dengan niqab.Antaranya ialah khimar, burqa’ , hijab, dan litham. Saya akan terangkan secara ringkas satu persatu kaitan antara istilah-istilah tersebut dengan niqab.
1. الخمار : ini ialah nama bagi kain yang digunakan untuk menutup bahagian kepala bagi wanita.Ini berdasarkan firman Allah taala di dalam al-Quran surah al-Nur ayat 31:
وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ
Maksudnya: dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.
Kaitan di antara niqab dan khimar ialah niqab digunakan untuk menutup wajah,manakala khimar digunakan untuk menutup kepala.Kedua-duanya merupakan pakaian muslimah.
2. الحجاب: Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup keseluruhan wanita tersebut.
3. البُرقَع : Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup keseluruhan wajah wanita.Menurut Ibn Manzhur ,pengarang kitab Lisan al-Arab: Terdapat sedikit ruang untuk memperlihatkan mata bagi burqa’. Jika kita mengambil dengan takrif yang diberikan oleh Ibn Manzhur maka ianya sama maksud dengan niqab.
4. اللِثام : Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup bahagian mulut.Kaitan di antara niqab dan al-Litham ialah , niqab digunakan untuk menutup keseluruhan wajah kecuali kedua mata. Manakala al-Litham pula digunakan untuk menutup bahagian mulut dan ke bawah. Bilamana niqab digunakan untuk menutup bahagian wajah wanita maka ianya mempunyai kaitan rapat dengan aurat. Ini kerana, aurat adalah merupakan anggota yang wajib ditutup. Maka para ulama berbeza pendapat, adakah wajah termasuk di dalam aurat bagi wanita?
Jumhur para ulama iaitu Hanafiyah, Malikiyah, Syafieyah dan Hanabilah berpendapat mengatakan bahawa wajah wanita bukanlah aurat. Ini bermakna, diharuskan bagi wanita untuk menutup wajahnya dan dibenarkan juga baginya untuk membuka wajahnya.
Menurut para ulama bermazhab Hanafi: Wanita muda dilarang mempamerkan wajahnya di hadapan lelaki yang ajnabi . Larangan di sini bukanlah disebabkan wajah mereka aurat. Tetapi adalah untuk mengelakkan fitnah.Ini juga merupakan pendapat al-Imam Ibn Abidin rahimahullah, salah seorang ulama Hanafi.
Manakala para ulama bermazhab Maliki pula berpendapat: Makruh bagi wanita untuk memakai niqab( yang dimaksudkan dengan niqab oleh para
ulama Maliki ialah yang menutup keseluruhan wajah termasuk mata)sama ada semasa solat atau selainnya.Ini kerana ianya terlalu berlebih-lebihan. Maka berdasarkan pendapat ini, golongan lelaki adalah lebih utama tidak memakai niqab, kecuali jika ianya menjadi adat bagi tempat tersebut.Para ulama Maliki juga menyebutkan bahawa: Jika wanita tersebut muda dan cantik serta dibimbangi ianya akan menimbulkan fitnah, maka wajib baginya memakai niqab(purdah), serta menutup kedua tapak tangannya(dengan memakai sarung tangan).
Para ulama bermazhab Syafie pula berbeza pendapat didalam masalah niqab ini.Sebahagian ulama bermazhab Syafie berpendapat wajib bagi wanita memakai niqab,sebahagian lagi mengatakan ianya sunnah manakala sebahagian lagi mengatakan ianya merupakan Khilaf al-Aula.
Didalam hadis baginda sallallahu alaihi wasallam disebutkan:
عن سيدنا ابن عمر رضى الله عنهما أن النبي صلى الله عليه و سلم قال: لا تنتقب المرأة المحرمة و لا تلبس القفازين
Maksudnya: Diriwayatkan daripada Saidina Abdullah bin Umar radhiyallahu anhuma, Sesungguhnya Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda: Janganlah seorang wanita tersebut memakai niqab dan memakai sarung tangan ketika dalam keadaan ihram.
Disebutkan oleh Ibn Taimiyah rahimahullah : Hadis ini menjadi dalil bahawa wanita pada zaman Baginda sallallahu alaihi wasallam memakai niqab dan sarung tangan. Oleh sebab itulah baginda sallallahu alaihi wasallam melarang pemakaian tersebut pada ketika waktu menunaikan ibadah haji.
KESIMPULAN
Jika kita menilai dengan baik pendapat para ulama tersebut, maka jelas menunjukkan bahawa niqab adalah sesuatu yang dituntut di dalam Islam. Cuma perlu difahami, bukanlah saya bertujuan untuk menyuruh semua wanita memakai niqab secara total. Amalkan berdasarkan kemampuan kita. Jika wanita tersebut merasakan bahawa jika dia tidak memakai niqab maka ianya akan menjadi lebih bahaya dan fitnah(manusia akan memandang kepadanya dengan syahwat),maka wajib baginya memakai niqab. Tetapi jika dia merasakan bahawa tiada masalah jika dia tidak memakai niqab, maka tidaklah menjadi dosa jika dia tidak memakai niqab sekalipun. Mereka boleh mengunakan sebahagian pendapat yang dipegang oleh ulama bermazhab Syafie yang mengatakan bahawa ianya merupakan Sunnah.
Wallahu a’lam
Rujukan:
Mausu’ah Kuwaitiyah jilid 41 mukasurat 134
Mausu’ah Yusufiyah oleh Syiekh Doktor Yussuf Khattar hafizahullah mukasurat 605-610
p/s : Akak pun sedang bina kekuatan dalaman untuk memulakan memakai purdah..Insyallah..Doakan...

Fatimah Syarha Mohd Noordin
RM12.00
Telaga Biru Sdn Bhd
Sinopsis
Novel ringkas ini mengisahkan perjalanan hidup seorang wanita yang sangat berhati-hati dalam menetapkan pasangan hidupnya. Keimanan yang tinggi dan kepercayaan yang menyeluruh terhadap Islam membuatkan beliau menggunakan segala pendekatan Rasulullah s.a.w. untuk hanya menerima pasangan hidup yang benar-benar dapat mendidik beliau dan keluarga ke jalan rahmat. Berkat kesabarannya itu, beliau akhirnya berjaya menemui pemilik cintanya, setelah Allah dan Rasul.
p/s : Alhamdulillah , buku ini memang betul menyentuh hati akak.Firts time , akak baca tajuknya ingat ka sesuai untuk yang sudah berumah tangga tapi sangat sesuai untuk semua lapisan yang sedang meningkat usia remaja.Membina motivasi untuk mengejar cinta yang abadi sebelum mengejar cinta insani..Allahuakbar...










